Pengurusan Pokok Gaharu

Pokok Karas sesuai ditanam di antara kawasan dataran rendah hingga ke pergunungan pada ketinggian 0 – 750 meter dari paras laut dengan purata taburan hujan kurang dari 2000cm. Suhu yang sesuai adalah antara 27°C hingga 32°C dengan kadar cahaya matahari sebanyak 70%. Kesesuaian tanah adalah jenis lembut dan liat berpasir dengan pH tanah antara 4.0 hingga 6.0.

Biji benih yang berkualiti amat penting untuk tujuan pembenihan, selalunya pembenihan di lakukan oleh nurseri untuk menjamin bekalan benih tanaman dalam volume yang besar dan berkekalan. Buah karas dari jenis Aquilaria Malaccencis adalah berbentuk kapsul, 3.5 cm hingga 5 cm panjang, ovoid dan berwarna coklat. Kulitnya agak keras dan berbaldu. Mengandungi 3 hingga 4 biji benih bagi setiap buah.

Penanaman boleh dilakukan di tanah-tanah persedirian, tanah terbiar, hutan simpan atau tanah kerajaan negeri melalui permohonan. Ia juga boleh ditanam di ladang kelapa sawit, ladang kopi dan kebun di bawah pokok-pokok yang lain yang berumur antara 5 – 8 tahun. Teknik tanaman secara sistem selang atau intergrasi dengan 2 atau lebih tanaman juga boleh dilakukan. Teknik dari pendekatan Agroforestry, Inter-row planting dan Hedge planting juga boleh dilakukan.

Teknik menanam adalah dengan menggali lubang dalam jarak ukuran 6 kaki x 6 kaki, 10 kaki x 10 kaki, 10 kaki x 15 kaki dan sebagainya. Ia bergantung kepada teknik tanaman secara selang, intergrasi atau sebagainya. Anak pokok dikeluarkan dari politena bag dan dimasukkan ke dalam lubang yang digali dengan keluasan diameter dan kedalaman 0.5 meter. Tanah dipermukaan dipadatkan dengan tangan untuk memastikan akar bersentuhan rapat dengan tanah dan elakkan pengaliran air di permukaan (surface water). Kadar pembajaan tidak boleh melebihi 100 gm bagi tiap-tiap lubang iaitu dengan kadar baja NPK 15:15:15 sebayak 40 – 50 gm dan TSP sebanyak 40 – 50 gm semasa proses penanaman.

Pokok-pokok karas yang ditanam perlu dibersihkan dari gangguan pokok lain sekitar 50 cm untuk mengelakkan persaingan hidup. Kerja –kerja ini dilakukan dalam 2 – 3 kali setahun sehingga pokok berusia 5 tahun. Pengemburan 2 kali setahun adalah amat baik untuk memberi oksigen ke dalam tanah untuk melancarkan penyerapan makanan oleh pokok.